Friday 1 July 2011

LARIAN SERENTAK 1MURID 1SUKAN 1MALAYSIA DISERTAI 5.332 JUTA PELAJAR

Lebih 15,000 pelajar akan menyertai Majlis Pelancaran Dasar Satu Murid Satu Sukan dan Larian Serentak Satu Murid Satu Sukan Satu Malaysia peringkat kebangsaan di Padang Esplanade, Taiping pada hari Sabtu ini mulai pukul 7.45 pagi.
Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohd Rauhi Mat Isa memberitahu bahawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia akan melancarkan majlis tersebut.
Mohd Rauhi berkata, para pelajar yang menyertai majlis pelancaran itu adalah dari 13 buah sekolah menengah dan 18 buah sekolah rendah di sekitar bandar Taiping.
Selain itu katanya, para guru, ibubapa, siswa dan siswi Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dari seluruh negeri Perak, Institut Pendidikan Guru Malaysia ( IPGM ) dan Kolej Matrikulasi akan bersama-sama dalam majlis pelancaran tersebut.
“Serentak pelancaran Dasar Satu Murid Satu Sukan akan diadakan Larian Serentak Satu Murid Satu Sukan Satu Malaysia yang disertai oleh 5.332 juta pelajar di 2,271 buah sekolah menengah dan 7,709 buah sekolah rendah dari Perlis hinggalah ke Sabah,” jelas Mohd Rauhi.
Katanya, larian serentak ini akan bermula apabila Timbalan Perdana Menteri melepaskan lebih 15,000 pelajar di Taiping tepat pukul 7.45 pagi pada hari Sabtu itu.
“Para peserta di seluruh negara akan berlari pada waktu yang sama sejauh sekurang-kurangnya 1.5 kilometer,” tambahnya.
Walau bagaimanapun katanya, para peserta di Taiping akan berlari sejauh 1.85 kilometer di kawasan Taman Tasik Taiping
Pengarah Pelajaran Perak berkata, sasaran penyertaan melebihi 4 juta peserta di seluruh negara akan menjadi catatan dalam Malaysia Book of Record ( MBOR ) bagi kategori larian terbesar.
Beliau memberitahu bahawa larian terbesar yang tercatat dalam MBOR dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan pada 4 November tahun 2000 yang lalu.
Katanya, larian yang diadakan oleh Kementerian Belia dan Sukan itu telah disertai seramai 2.3 juta peserta.
” Kementerian Pelajaran Malaysia berazam mencatat rekod dalam MBOR melalui Larian Serentak Satu Murid Satu Sukan Satu Malaysia yang melebihi 4 juta,” ujarnya.
Selain acara larian, Mohd Rauhi berkata, program senamrobik, pameran, pertunjukan gimnastik, pertandingan sepak raga ratus, futsal, bola jaring, tenis dan bola tampar akan dijalankan

1 comment:

  1. satu permulaan yang baik untuk golongan belia2...
    diharap program dapat dilaksanakan dengan jayanya

    ReplyDelete